Anda boleh memulakan minat sabun ini sebagai hobi, atau ingin menjalankan perniagaan dari rumah, kedai, kilang kecil dan seterusnya menjadi pengilang dengan penghasilan produk yang berkualiti serta berdaya saing yang mampu menampung permintaan yang tinggi dari pengguna domestik hinggalah ke peringkat antarabangsa. Pelajarilah cara membuat sabun sekarang juga.
Isnin, 12 Februari 2018
Membina Kejayaan Produk Jenama Anda
Apa yang ada pada jenama? Kenapa jenama sangat penting dalam perniagaan sehingga sesetengah syarikat di negara maju sanggup melabur sampai jutaan ringgit untuk memperkembangkan jenama produk mereka?
Penjenamaan (branding) di dalam kamus Oxford bermaksud pemberian nama atau imej ke atas barangan atau servis supaya orang tertarik untuk membelinya.
Jenama adalah penambah nilai pada sesuatu produk, syarikat, barangan mahupun pada diri kita sendiri. Ianya ibarat bahan perasa di dalam makanan. Dengan adanya jenama, maka sesuatu produk itu akan menjadi lebih berharga atau mahal.
Tidak kiralah sebesar mana pun atau sekecil mana pun syarikat atau produk itu, jenama akan membuatkan ianya bernilai. Jenama bukan setakat menaikkan nilai sesuatu barangan, malah jenama juga memainkan peranan yang penting untuk menentukan barangan tersebut laku di pasaran.
Jenama juga akan membuatkan kita dapat mengiklankan barangan kita dengan percuma tetapi kita kena pastikan bahawa barangan kita itu berkualiti. Sebagai contohnya, kita menjual nasi ayam dan kita namakan produk kita ‘Nasi Ayam Kasturi’.
Sekiranya makanan itu sedap maka pengiklanan dari mulut ke mulut akan berlaku. Orang akan berkata kalau nak makan nasi ayam yang sedap, pergilah cari Nasi Ayam Kasturi. Itulah iklan percuma namanya. Jenama adalah sesuatu perkataan atau simbol yang menghubungkan minda dengan syarikat atau produk. Apabila membangunkan sesuatu jenama, pegawai pemasaran akan menghubungkan apa yang dimahukan oleh pelanggan dengan produk syarikat. Mereka akan mencipta satu persepsi di mana sesuatu produk tersebut mempunyai kualiti yang menjadikannya unik dan istimewa serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan.
Dalam era perniagaan moden, jenama dilihat sebagai satu instrumen yang penting dalam pemasaran sesebuah perniagaan. Jenama adalah satu-satunya cara paling efektif dalam menguasai pasaran sesuatu produk. Ini kerana, jenama akan membantu membentuk identiti syarikat dan produk. Di sebelah Barat, syarikat-syarikat gergasi yang jauh lebih advance dalam perniagaan banyak melabur dalam penjenamaan.
Contohnya, Coke telah menaja sukan Olimpik semenjak tahun 1928 dan Adidas telah menaja kejohanan Bola Sepak Piala dunia semenjak beberapa dekad yang lalu. Aktiviti penajaan yang dilakukan ini membolehkan jenama mereka dikenali ramai dan seterusnya membantu membentuk identiti perniagaan di kalangan pengguna serta dunia.
Kepentingan jenama ini tidak terhad kepada skop luas seperti acara sukan antarabangsa sahaja, malah ia mempunyai impak besar dalam hidup seharian. Tak percaya? Contohnya, berapa kerap anda dengar ungkapan ini; “saya ingin membeli ubat gigi” berbanding “saya ingin membeli Colgate” ?
Sudah tentu yang ungkapan kedua, bukan? Ini disebabkan jenama Colgate telah menguasai pasaran ubat gigi dengan baik. Malah ada sesetengah pengguna lebih mengutamakan jenama daripada kualiti. Pengguna pada hari ini lebih mementingkan kualiti daripada harga kerana mereka sedar akan pemilihan jenama yang berkualiti selaras dengan peningkatan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk tersebut. R&D penting untuk terus kekal bersaing dan pengguna akan tetap menggunakan produk jenama mereka walaupun wujud banyak pesaing dalam pasaran.
Banyak syarikat kecil lupa kepada jenama dan kualiti barangan. Mereka lebih selesa menggunakan faktor harga dalam mengekalkan kesetiaan pelanggan. Kaedah sebegini tidak akan kekal lama kerana pesaing akan membuat kaedah dan cara yang sama. Kesetiaan pelanggan adalah kesinambungan pelanggan untuk terus kekal dengan produk dan jenama barangan tertentu. Untuk terus kekal terhadap sesuatu jenama, pelanggan akan memilih kualiti, reka bentuk serta produk terkini, selamat dan harga yang kompetitif. Kesetiaan pelanggan akan beralih jika sekiranya jenama yang mereka guna sekarang tidak berkembang dengan kehendak semasa. Biarlah pengguna yang setia menceritakan akan kehebatan jenama yang mereka gunakan kepada rakan-rakan mereka dengan penuh bangga.
Tetapi, pengeluar juga harus patuh kepada jenama yang mereka janjikan kepada pengguna. Contoh terdekat ialah, pengeluar kereta Jepun, Toyota yang menggunakan slogan moving forward. Slogan yang mereka gunakan berjaya membantu memperkembangkan jenama Toyota di seluruh dunia. Malah, jenama Toyota berkait rapat dengan kebolehpercayaan penggunaan terhadap teknologi yang mereka gunakan.
Kesungguhan Toyota membangunkan jenama mereka dengan slogan yang dinyatakan sampai kepada kemuncak bila mereka mengeluarkan kereta model Lexus. Produk Lexus ini kemudiannya didapati memberi saingan yang kuat kepada jenama BMW dan Mercedes. Kemampuan jenama Toyota memegang janji untuk maju ke hadapan demi meningkatkan keyakinan pengguna kepada jenama Toyota.
Anak muda pada hari ini yang berkecimpung dalam bidang perniagaan amat mementingkan penjenamaan kerana mereka tahu yang penjenamaan adalah pemasaran teknik yang mempunyai potensi untuk mengangkat perniagaan mereka ke tahap yang baru.
Penjenamaan mewujudkan ingatan dalam fikiran orang ramai. Apabila orang ingat jenama tersebut dan membiasakan diri dan orang lain di dalamnya, mereka akan kembali. Pelanggan akan terus melabur dalam perniagaan tersebut. Orang sanggup membayar lebih bagi produk atau perkhidmatan yang mereka suka.
Apabila perniagaan anda telah dibezakan melalui penjenamaan, seluruh usaha pemasaran perniagaan anda akan menjadi lebih mudah. Membangunkan jenama tak dinafikan mengambil masa dan usaha, tetapi dalam jangka masa panjang, ia adalah strategi pemasaran percuma buat selama-lamanya.
Seperti memasuki McDonalds, tema yang dimainkan adalah “Keseronokan”, manakala di Hard Rock Cafe, tema keseluruhan adalah “Muzik”. Contoh lain adalah Haagan Dazs; tema keseluruhan adalah “Kemewahan”. Membina jenama yang kuat perlu mempunyai tema.
Tema tidak semestinya niche, slogan, atau tajuk. Tema adalah jenama iaitu konsep keseluruhan. Berbicara tentang jenama, rasanya tidak sah sekiranya syarikat yang satu ini tidak dibincangkan. Syarikat ini kini berdiri gah, jauh meninggalkan syarikat-syarikat gergasi dalam industri yang sama di rantau ini tanpa menggunakan formula luar biasa.
Secret recipe syarikat ini ialah penjenamaan. Penjenamaan yang dilakukan dengan cara luar biasa. Ya, syarikat hebat ini dikenali sebagai Air Asia! Pada tahun 2001, syarikat Air Asia hanya bernilai RM1.00, dibebani hutang sebanyak RM40 juta, mempunyai hanya dua kapal terbang terpakai Boeing 737-300, terbang hanya ke satu destinasi, membawa 250,000 penumpang setahun dan mempunyai hanya 250 pekerja. Namun selepas 9 tahun, Air Asia bernilai hampir RM 4 billion, mencatat keuntungan sebanyak RM549 juta, memiliki lebih 85 pesawat Airbus A320 dan A330, terbang terus melalui lebih 130 laluan perjalanan ke 70 destinasi seluruh dunia, menerbangkan lebih 20 juta orang penumpang setahun dan kini mempunyai lebih dari 8,000 orang pekerja di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Dan apa yang lebih menarik kini ia menjadi saingan syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa utama lain yang telah lama beroperasi seperti Malaysia Airlines Sistem (MAS), Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific.
Sehinggakan Air Asia membeli saham MAS yang berada di ambang muflis. Tetapi apa rahsia kejayaan Air Asia sebenarnya? Penjenamaan. Di badan kapal terbang itu sendiri tertera laman web syarikat hebat ini. Air Asia banyak menaja acara sukan tempatan dan antarabangsa. CEO nya, Tony Fernandes sendiri sentiasa mengenakan topi merah iaitu warna rasmi syarikat ke mana sahaja beliau pergi. Mungkin kedengaran seperti biasa tetapi inilah strategi-strategi luar biasa mereka.
Penjenamaan turut menjimatkan kos. Contohnya, dalam kes produk komputer keluaran HP (Hewlet Packard), dua tahun lalu, mencari jalan mengurangkan kos dalam keluaran produk mereka. Sehingga pada satu peringkat, mereka memilih idea asas, iaitu mengubah kotak yang membungkus produk mereka. Kekuatan jenama HP sememangnya tidak dinafikan pelanggan.
Maka pelanggan mahu membeli dan menggunakan produk HP bukannya kotak pembungkus produk HP. Maka mereka menukar semua kotak berwarna kepada kotak asas, iaitu kotak berwarna coklat dengan logo HP. Kesan tindakan mereka dua tahun lalu menjimatkan beberapa juta dolar yang disalurkan kepada iklan promosi produk HP yang sungguh berwarna warni. Bijak, bukan?
Syarikat-syarikat besar mempunyai kelebihan yang lebih berbanding dengan perniagaan kecil kerana mereka mempunyai lebih ramai pekerja dan sumber. Namun dalam masa yang sama, faktor ini akan membuatkan pelanggan merasa tidak mempunyai hubungan atau ikatan dengan syarikat ini.
Kerana itulah mereka mewujudkan penjenamaan yang kuat supaya pelanggan sentiasa merasa mereka mempunyai hubungan dan ikatan dengan syarikat ini. Tetapi bagaimana untuk membina jenama untuk perniagaan kecil anda?
Penjenamaan diri kita mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak dapat dilakukan oleh syarikat-syarikat besar. Apa yang kita buat dan cakap akan melambangkan perniagaan kita.
Apabila pelanggan menghubungi syarikat kita untuk membuat tempahan, atau membuat aduan, mereka berinteraksi secara terus dengan diri kita. Pelanggan suka berhubung dengan manusia dan bukan mesin atau robot atau manusia yang bekerja sebagai mesin.
Dengan ini kita berada di tangga yang lebih atas berbanding syarikat besar yang mempunyai jenama atau tagline yang hebat. Pelanggan akan mempunyai satu ikatan perasaan yang positif apabila berhubung dengan kita atau apabila mendengar mengenai kita dari orang lain yang mereka kenali. Seterusnya apabila kita membuat laman web di internet untuk meluaskan perniagaan kita.
Pastikan nilai-nilai manusia terdapat di website tersebut. Ramai orang cuba menunjukkan bahawa syarikat mereka ini besar dan hebat dalam website. Kaedah ini bakal menikam kita semula kerana kita menghilangkan semua penjenamaan peribadi yang kita telah sedia ada dalam perniagaan kecil. Kita tidak lagi menjadi unik dan istimewa dari mata pelanggan.
Mengenai pergerakan perniagaan anda, mulakan blog yang akan menjadikan pembaca mengetahui perjalanan perniagaan anda. Jika ada soalan daripada pelanggan, jawab soalan-soalan mereka. Jika pelanggan ini mendapat jawapan bagi persoalan mereka melalui blog anda, ini akan menjadikan anda seorang pakar di mata mereka. Ini menjadikan jenama diri anda lebih kuat dari hari ke hari.
Anda akan mendapat pelanggan baru secara berpanjangan. Logo yang hebat dan tagline yang menarik bukanlah jenama bagi perniagaan kecil. Apa yang kita cakap dan apa yang kita lakukan akan membentuk jenama kita.
Penjenamaan, secara kesimpulannya adalah satu sentimen dan perspektif yang diletakkan oleh masyarakat ke atas perniagaan kita. Tiga unsur utama yang penting dalam satu-satu penjenamaan selepas pemilihan nama adalah dikenali, disukai dan dipercayai. Jika tiga unsur ini ada pada satu-satu jenama, maka jenama ini berada di landasan yang betul untuk berjaya.
Nah, apalagi ditunggu; buatlah satu produk dengan jenama anda. Kita gegarkan industri dunia dengan produk buatan Malaysia. Saya suka untuk mendengar anda BERJAYA dalam apa jua bidang dan tidak semestinya pada produk sabun. Tapi jika anda minat untuk membuat sabun jangan berlengah lagi.