MANFAAT LEMAK AYAM
Bagi anda yang gemar makan dan sering membeli ayam segar. Penjual yang memotong ayam akan membuang lemak dalam perut, lebihan kulit semasa memotong ayam mengikut saiz yang dikehendaki pelanggan. Sisa tersebut biasanya akan diambil oleh penternak ikan untuk dijadikan makanan ikan. Manakala jika anda membeli ayam segar seekor tanpa dikerat kerana anda ingin memotong mengikut cara masakan anda, sebahagian besar lemak dan lebihan kulit ayam itu akan dibuang begitu ke dalam tong sampah sahaja tanpa dimanfaatkan.
Justeru, saya ingin menyarankan kepada anda, sebaik-baiknya mintalah penjual memotong ayam mengikut saiz yang anda kehendaki, dengan cara ini sedikit sebanyak secara tidak langsung anda turut menyumbang memakmurkan usaha ternakan ikan yang dijalankan oleh masyarakat kita.
Walau bagaimanapun, masih ada jalan untuk anda memanfaatkan lemak ayam itu iaitu dengan menghasilkan pelbagai produk daripada lemak ayam, antaranya menggunakan lemak ayam sebagai campuran dalam membuat sabun untuk kegunaan sendiri.
Anda boleh menggunakan sehingga 40% daripada campuran bahagian minyak untuk membuat sabun ketul. Manakala 60% digunakan minyak tumbuhan seperti minyak kelapa, minyak kelapa sawit, minyak zaitun dan sebagainya. Selain dapat mengurangkan kos, sabun yang dibuat menggunakan campuran lemak ayam mempunyai buih yang halus dan lembut.
Untuk mendapatkan lemak ayam yang baik, anda perlu membersihkan lemak dan lebihan kulit ayam sebelum dimasak. Gunakan kuali atau periuk untuk memasak sehingga bahagian kulit telah garing dan rangup sepenuhnya. Keluarkan kulit yang telah masak. Gunakan penapis untuk mengekstrak minyak dan tapis minyak lemak tersebut. Simpan minyak lemak ayam yang cantik kekuningan itu di dalam bekas, guna apabila anda perlukan untuk membuat sabun.