
Apa yang ada pada jenama? Kenapa jenama sangat penting dalam perniagaan sehingga sesetengah syarikat di negara maju sanggup melabur sampai jutaan ringgit untuk memperkembangkan jenama produk mereka?
Penjenamaan (branding) di dalam kamus Oxford bermaksud pemberian nama atau imej ke atas barangan atau servis supaya orang tertarik untuk membelinya.
Jenama adalah penambah nilai pada sesuatu produk, syarikat, barangan mahupun pada diri kita sendiri. Ianya ibarat bahan perasa di dalam makanan. Dengan adanya jenama, maka sesuatu produk itu akan menjadi lebih berharga atau mahal.
Tidak kiralah sebesar mana pun atau sekecil mana pun syarikat atau produk itu, jenama akan membuatkan ianya bernilai. Jenama bukan setakat menaikkan nilai sesuatu barangan, malah jenama juga memainkan peranan yang penting untuk menentukan barangan tersebut laku di pasaran.