Manusia telah mengenali kebersihan sedari awal lagi. Air digunakan sebagai bahan utama untuk mencuci, misalnya membersihkan anggota badan yang terkena kekotoran seperti lumpur, darah dan sebagainya. Bukti awal purba yang ditemui melalui ekskavasi yang dijalankan telah menunjukkan bahawa bahan seumpama sabun telah dibuat sekitar 2800 SM di Babylon. Formula seumpama sabun menunjukkan bahan tersebut mengandungi air, alkali dan minyak cassia yang tercatat pada kepingan tanah liat sekitar 2200 SM.
Manakala catatan pada Papyrus Eber di Mesir iaitu dokumen kesihatan pula sekitar 1550 SM menunjukkan orang-orang Mesir purba telah mandi dengan menggunakan bahan lemak dari haiwan, minyak tumbuhan dan garam alkali yang dibuat seperti bahan sabun. Dokumen Mesir Purba juga telah mencatatkan penggunaan bahan seumpama sabun ini digunakan dalam penyediaan bulu haiwan untuk tujuan menenun pakaian.